Pelajar bidang pengkhususan ini diberi peluang memahami beberapa teori dalam memahami kesihatan mental terlebih dahulu, kemudian membincangkan beberapa teori pengajaran dan pembelajaran yang boleh meningkatkan prestasi dan pencapaian guru dan pendidik. Dapatan-dapatan kajian tentang pengajaran dan pembelajaran juga dibincangkan. Pelajar juga diperkenalkan kepada konsep pemikiran serta model-model kemahiran berfikir, misalnya kemahiran penyelesaian masalah, kreativiti, membuat keputusan dan pemikiran kritis. Pelajar juga mengkaji makna kepelbagaian budaya, teori di sebalik kepelbagaian budaya, tren masyarakat, serta kemahiran yang diperlukan untuk memahami, mengurus dan membantu dalam masyarakat pelbagai budaya. Seterusnya, pelajar menilai model-model yang berkenaan dengan kepelbagaian murid dan kesesuaiannya dalam konteks pendidikan negara.